Total Pageviews

Blog Archive

Formulir Kontak



Kesabaran kunci kejayaan Tokoh Guru 2012

SEREMBAN 27 Mei - Kesabaran dalam menghadapi cabaran adalah kunci kejayaan seseorang guru bagi menghadapi dunia pendidikan yang kini terus berubah dalam arus globalisasi ketika ini.
Malah pendidikan ketika ini menuntut kesungguhan dan pengorbanan guru dalam menguasai semua bidang meliputi teknologi dan maklumat bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan demi memastikan kecemerlangan anak bangsa tercapai.
Tokoh Guru Negeri Sembilan 2012, Datuk Azam Md. Atan berkata, cabaran guru ketika ini bertambah kritikal apatah lagi memerlukan warga pendidik menguasai bidang teknologi bagi mendidik anak murid mereka.
''Perkara yang paling asas untuk menjadi guru adalah bersabar apatah lagi cabaran ketika ini semakin bertambah dan murid sekarang ini memerlukan perhatian yang lebih bagi memastikan kejayaan mereka dapat dicapai.
''Malah mereka juga perlu memberikan perhatian dan tumpuan ketika mengajar kerana itulah prinsip yang perlu dipegang oleh warga pendidik sekiranya mereka mahu melihat anak-anak murid dan pelajar berjaya dalam bidang akademik mahupun kokurikulum," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Azam yang merupakan bekas Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dipilih sebagai Tokoh Guru 2012 dalam Majlis Sambutan Hari Guru 2012 yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini baru-baru ini.
Pemilihan beliau sebagai penerima anugerah itu membolehkan Azam, 59, menerima wang tunai RM3,500 dan plak cenderamata yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam pada itu, Muhd. Syahlyme Abd. Wahid, 31, pula menjelaskan, peranan guru kini jauh berbeza berbanding dahulu kerana para pelajar kini lebih terdedah dengan pelbagai maklumat menerusi pelbagai medium termasuklah internet.
Justeru kata penerima Anugerah Guru Inovatif Kategori Individu Sekolah Rendah itu, sudah tiba masanya untuk guru ketika ini mengusai bidang teknologi yang kini terus berkembang dalam memastikan mereka tidak terus ketinggalan.
''Kalau dulu guru hanya membawa sebatang kapur dan papan hitam untuk mengajar, kini mereka menggunakan komputer sebagai alat bantu pembelajaran dan dari situ kita telah nampak transformasi pendidikan negara telah berubah sama sekali.
''Biarpun kaedah kini telah berubah dengan pantas namun apa yang penting matlamat guru untuk menjadikan anak didik kita mencapai kecemerlangan dalam pendidikan tidak dikesampingkan," kata guru dari Sekolah Kebangsaan Yam Tuan Lenggang, Kuala Pilah itu.

Utusan Malaysia Online: 29 Mei 2012
Labels: Hari Guru

Thanks for reading Kesabaran kunci kejayaan Tokoh Guru 2012. Please share...!

0 Komentar untuk "Kesabaran kunci kejayaan Tokoh Guru 2012"

Back To Top