Beliau yang bersama profesion perguruan selama 33 tahun itu menerima wang tunai RM5,000, senaskah al-Quran, satu set persalinan dan trofi yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 warga pendidik dan pelajar berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin.
Turut menerima anugerah ialah Azran Ibrahim (Guru Pendidikan Khas Cemerlang), Zainudin Mat Ali (Guru Kelainan Upaya Cemerlang), Nik Mohd. Azhani Nik Jusoh (Penderma Darah Berjasa) dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu bagi kategori pengurusan PPD cemerlang.
Juga Masitah Mohamed (Guru Pra Sekolah Inovatif), Zalina Bidin (Guru Sekolah Rendah Inovatif) serta Mohd. Yusri Ibrahim, Nor khatimah Ismail dan Wan Mohd. Amir Fazamin Wan Hamzah (Guru Sekolah Menengah Inovatif) dan Kamarulzaman Ismail (Tokoh Nilam) .
Sementara itu, Mohd Nor ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berkata, sebagai guru mereka harus kuatkan semangat ketika berdepan dengan kerenah para pelajar.
"Sebagai guru, kita jangan mudah sangat merajuk dengan anak murid dan pelajar-pelajar kita. Ini penting demi masa depan mereka," katanya.
Beliau yang berasal dari Kampung Buluh Kuala Berang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia memulakan tugas sebagai pendidik pada tahun 1976 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai dekat sini.
Sepanjang tempoh menjadi pendidik, beliau yang juga penerima Anugerah Guru Khidmat Cemerlang Kebangsaan pada tahun 1996 pernah ditugaskan di beberapa buah sekolah antaranya di SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Landas, SMK Menerong dan SMK Ajil.
''Sebagai guru, tiada yang lebih penting selain sikap dan komitmen guru yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mahu melihat anak bangsanya berjaya,"
"Ramai yang dakwa, perkembangan teknologi maklumat pada masa kini menjadi cabaran utama guru hari ini kerana perlu melengkapkan diri dengan arus perubahan pendidikan misalnya penggunaan e-Book dan kelas maya.
"Namun bagi saya, cabaran lebih besar adalah sikap guru yang mudah terasa hati dengan pelajar-pelajar merupakan antara faktor proses pembelajaran itu terbantut," ujarnya yang juga bekas Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusian, Jabatan Pelajaran.
Katanya bermula dengan rasa hati yang gembira seorang guru untuk menyampaikan ilmu membolehkan pelajar-pelajar mendapat keberkatan daripada itu.
''Kalau ada sedikit perangai pelajar yang tidak disukai, pejam mata sahaja dan teruskan usaha menyampaikan ilmu itu," katanya.
Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2012
Labels:
Hari Guru
Thanks for reading Guru jangan mudah merajuk - Tokoh Guru Terengganu. Please share...!
0 Komentar untuk "Guru jangan mudah merajuk - Tokoh Guru Terengganu"