Total Pageviews

Blog Archive

Formulir Kontak



Guru tunggu penempatan

Guru tunggu penempatan

SEBAGAI bapa, saya berasa sangat terkilan dengan jawapan kerani atau pegawai yang menjawab pertanyaan saya mengenai penempatan anak saya yang tamat mengikuti kursus Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) J-Qaf ambilan Januari 2011. Majlis konvokesyen telah diadakan di Putrajaya pada 10 Julai lalu.
Kalau diikutkan selepas tamat program KPLI ini, sepatutnya anak saya terus ditempatkan di sekolah di mana dia menerima latihan. Namun, ia disekat sementara kerana perlu menghadiri satu temuduga di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) supaya ditempatkan semula ke sekolah dengan gred DG 41.
Namun sehingga hari ini tiada satu pun kata putus dapat diberikan oleh mana-mana pihak berkaitan selain perkataan 'tunggu'. Baik pihak Kementerian Pelajaran atau SPP hanya memindahkan masalah ini daripada satu pihak ke pihak lain.
Anak saya ini sudah berkeluarga dan sepatutnya dia sudah ada kerja yang dapat menyara hidupnya sekeluarga. Tetapi sebaliknya terpaksa menunggu bagaikan menunggu durian jantan berbuah. Tiada satu pun tanda-tanda pihak Kementerian Pelajaran atau SPP akan memberi tarikh bila penempatan akan dibuat.
Saya ini hanya seorang pesara, tidak mampu untuk menanggung anak saya yang sudah berkeluarga itu. Dia sudah berusaha menjadi guru tuisyen yang hanya menjana pendapatan RM500 hingga ke RM700 sebulan.

Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2012
Jawatankuasa khas tangani isu guru SJKC, SJKT

Jawatankuasa khas tangani isu guru SJKC, SJKT

KUALA LUMPUR 21 Jun - Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan bagi menangani isu kekurangan guru terlatih di sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata jawatankuasa khas bagi menangani isu kekurangan guru di kedua-dua sekolah itu dipengerusikan secara berasingan oleh dua Timbalan Menteri Pelajaran.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu turut dianggotai wakil persatuan dan pertubuhan bagi masyarakat Cina dan Tamil serta kesatuan guru bagi membincangkan secara terperinci isu berkenaan serta mengenal pasti pendekatan terbaik mengatasi masalah itu.
Bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran, beberapa langkah turut diambil, antaranya memastikan guru mempunyai kelayakan dwibahasa termasuk bahasa Cina atau Tamil untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan Inggeris Tahap 1.
"Selain memastikan guru kelas pemulihan mempunyai kelayakan dwibahasa, kementerian menempatkan 98 graduan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mempunyai kepujian bahasa Cina ke SJKC dan 18 graduan yang mempunyai kepujian dalam bahasa Tamil ke SJKT pada 23 Mei lalu," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan M. Manogaran (DAP-Telok Intan) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 21 Jun 2012
Kekurangan guru akan diatasi

Kekurangan guru akan diatasi

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu kemanusiaan menjadi antara faktor utama menyebabkan masalah penempatan guru masih berlaku sehingga menimbulkan masalah kekurangan guru di sesetengah sekolah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran tidak dapat memenuhi tuntutan sebenar keperluan guru di sekolah-sekolah apabila rayuan diterima daripada guru setiap kali arahan perpindahan dikeluarkan.
"Guru adalah golongan yang dekat dengan masyarakat dan apabila telah tinggal lama di sesuatu tempat, sudah bersuami atau beristeri dan beranak-pinak.
"Apabila kami memerlukan pertukaran berlaku atau penempatan semula di tempat-tempat yang berlaku kekurangan guru, kami menghadapi masalah," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain rayuan daripada guru berkenaan, kadang-kadang wujud campur tangan orang politik yang memberikan surat sokongan supaya perpindahan tidak dilakukan.

Kosmo Online: 19 Jun 2012
5,500 guru interim diserap

5,500 guru interim diserap

Oleh Mohamed Farid Noh

2012/06/12

Surat tawaran penempatan graduan ke seluruh negara sedang diagih

BATU PAHAT: Seramai 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temuduga antara Januari hingga Mac lalu akan ditempatkan di sekolah seluruh negara, mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata surat tawaran penempatan kepada semua graduan berkenaan yang sebelum ini dilantik sebagai guru interim (guru sementara) itu sedang diagihkan.
�Daripada kira-kira 5,500 calon yang ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), hanya 62 calon gagal namun mereka kini dalam proses rayuan selepas wakil mereka bertemu saya kelmarin.
�Saya harap, semua guru yang berjaya dan sudah menerima surat tawaran penempatan itu menerima jawatan mereka dengan semangat tinggi untuk mendidik anak bangsa.

�Jika boleh tidak perlulah membuat rayuan untuk mendapatkan sekolah berhampiran rumah... jika dapat mengajar di Sarawak atau Sabah, terimalah dengan berlapang dada, demi mendidik anak bangsa,� katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian peruntukan RM1 juta kepada Sekolah Menengah Tinggi Cina Chong Hwa Rengit, dekat sini, semalam.

Mac lalu, Berita Harian melaporkan Kementerian Pelajaran giat mengumpul rekod terkini kekosongan guru di sekolah seluruh negara daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi calon graduan berkenaan yang selesai sesi temu duga oleh SPP, berakhir 16 Mac lalu.
Disember tahun lalu, 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Mereka mendakwa kementerian menganaktirikan mereka dan lebih mengutamakan GSTT untuk diserap sebagai guru tetap.

Sementara itu, Puad ketika ditanya sama ada pihaknya ada menerima permohonan pertukaran sekolah daripada guru yang sudah menerima surat tawaran penempatan itu berkata, buat masa ini tiada lagi permohonan sedemikian.

�Mungkin semua guru ini mempunyai semangat berkobar-kobar dan tidak kisah bertugas di mana saja mereka ditempatkan dan itulah yang kita harapkan daripada mereka,� katanya.

Berita Harian Online: 12 Jun 2012
Sukarnya guru J-Qaf dapat kelulusan berpindah

Sukarnya guru J-Qaf dapat kelulusan berpindah

SAYA merupakan guru J-QAF ambilan tahun 2005. Apabila saya menerima tawaran mengajar di Sarawak tidaklah saya berharap untuk terus menetap di negeri Bumi Kenyalang ini memandangkan syarat yang diberikan hanyalah bertugas tiga tahun di sekolah berkenaan.
Pada tahun ini genaplah tujuh setengah tahun saya mengajar di Sarawak. Saya tidak dapat bertahan lagi untuk terus berada di sini.
Mengapakah sukar guru J-QAF diberikan peluang untuk bertukar berbanding dengan penjawat awam yang lain?
Saya mencadangkan apabila menawarkan program J-QAF ini, berikan syarat kepada pemohon baru dengan syarat mesti mengajar 10 tahun ke atas di negeri tersebut barulah akan dapat bertukar.
Tidakkah dihargai pengorbanan kami yang sanggup datang ke sini? Kalau diberikan had masa pada setiap orang untuk berkhidmat di sini, saya yakin setiap orang akan mengajar dengan penuh ikhlas dan dedikasi di samping menimba pengalaman di negeri orang.
Baru-baru ini terdapat pegawai- pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang menabur janji kami guru J-QAF ambilan 2005. Contohnya seperti sekolah saya sendiri, KPM telah menghantar lima guru J-QAF baru menjadikan jumlah kami sembilan orang. Janjinya guru J-QAF 2005 akan dipindahkan.
Tetapi pada 19 Mei 2012, tiada seorang pun guru J-QAF dari sekolah saya yang dapat berpindah. Tidakkah ada belas kasihan dari JPN Sarawak sendiri terhadap permasalahan kami dan tidak adakah pegawai pegawai J-QAF di sana untuk membantu?
Sampai bilakah pula nasib begini akan diwarisi kepada adik-adik J-QAF kami yang seterusnya jika kami terus dirantai di sini?
Saya mohon fahamilah dan berikan perhatian pada permohonan kami. Juga dengan kehidupan kami yang sudah berkeluarga untuk membina kehidupan yang sempurna. Tambahan pula kemudahan kargo telah ditarik balik oleh kerajaan. Apa yang kami dapat setelah bertahun-tahun bekerja kerana barang yang dibeli terpaksa ditinggalkan atau dijual dengan harga yang murah?
Belum lagi pelbagai masalah seperti berjauhan dengan suami, anak dan isteri seperti diambil enteng oleh pihak KPM dan JPN Sarawak.
Saya amat berharap berilah perhatian kepada permohonan kami.
Janganlah membuat penilaian seperti 'mencurah air ke daun keladi'. Fikirlah jika masalah seperti ini berlaku kepada anak-anak kalian sendiri.
Janganlah biarkan masalah ini terus diwarisi kerana banyak pihak yang teraniaya.

Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2012
Back To Top