Total Pageviews

Blog Archive

Formulir Kontak



Tingkatkan martabat tingkatan enam

Tingkatkan martabat tingkatan enam

SISTEM pendidikan negara sedang melalui proses penambahbaikan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan. Saya melihat ia merupakan satu pendekatan positif untuk dijadikan motivasi kepada kalangan murid dan pelajar yang sedang melalui alam persekolahan, lebih-lebih lagi bagi kalangan pelajar tingkatan enam bawah dan atas (Pra-U bawah dan atas).
Banyak pihak mula membangkitkan mengenai isu kalangan pelajar Pra-U ini yang mula hilang minat untuk meneruskan pengajian mereka kerana beranggapan status mereka tiada bezanya dengan pelajar-pelajar arus perdana, tingkatan satu hingga tingkatan lima.
Mereka merasakan bahawa mereka hanya seperti pelajar sekolah biasa sedangkan mereka melalui kaedah pembelajaran secara semester dan setaraf dengan pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi yang lain. Selain itu, taraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal mereka miliki patut setaraf dengan diploma yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi.
Bagi memastikan keberkesanan sistem pendidikan Pra-U ini agar lebih produktif dan berkualiti, pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil pendekatan pro-aktif dengan menyediakan sistem pengurusan yang berasingan dengan sistem pengurusan persekolahan arus perdana.
Ini dibuat melalui pewujudan jawatan khas penolong kanan dan guru-guru khas yang berpengalaman untuk mengajar tingkatan enam. Langkah ini diyakini mampu menghasilkan natijah yang baik untuk masa depan pelajar-pelajar Pra-U.
Sehubungan itu, bagi menarik minat kalangan pelajar-pelajar Pra-U ini untuk meneruskan pengajian mereka, adalah lebih baik jika mereka ini dilayan sebagaimana pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi, walaupun pada dasarnya mereka belajar di sekolah biasa.
Berilah peluang kepada kalangan pelajar Pra-U ini untuk menghadiri kelas harian mereka tanpa memakai pakaian seragam sekolah bagi membezakan mereka bukanlah pelajar sekolah arus perdana.
Berilah kelonggaran kepada pelajar ini untuk memakai pakaian yang kemas seperti memakai seluar slack, berkemeja biasa atau baju T berkolar serta berkasut hitam. Yang penting mereka diwajibkan berpakaian kemas sewaktu menghadiri kuliah di kelas.
Jumlah pelajar juga harus ditetapkan dalam kalangan 30 orang dalam satu-satu kelas bagi memastikan tumpuan guru dan murid lebih sempurna demi menghasilkan pelajar yang berkualiti dan terbaik.
Sehubungan itu, pihak Kementerian Pelajaran perlu memastikan jumlah guru yang mencukupi sementara pihak pengurusan sekolah tidak menugaskan guru-guru yang mengajar kelas-kelas Pra-U untuk turut mengajar pelajar-pelajar arus perdana.
Saya sangat yakin, jika langkah drastik ini dapat dilaksanakan secara beransur-ansur, ia mampu menarik semula minat kalangan pelajar Pra-U untuk meneruskan pengajian mereka.
Pada waktu yang sama mampu menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar arus perdana untuk meneruskan pengajian mereka dalam pengajian Pra-U atau tingkatan enam bawah dan atas.

Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2012
Pelajar tingkatan enam sudah tak sesuai pakai baju sekolah

Pelajar tingkatan enam sudah tak sesuai pakai baju sekolah

SESIAPA yang pernah menjadi pelajar Tingkatan Enam pasti ada menyimpan perasaan malu ketika berpakaian seragam sekolah dalam usia 18 -20 tahun ketika itu.
Pakaian sekolah inilah antara faktor yang tidak merangsang ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Walaupun sudah ada penambahbaikan dari segi kurikulumnya yang mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak ikut sistem semester, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, tetapi soal berpakaian seragam sekolah dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.
Selepas meninggalkan Tingkatan Enam kira-kira 30 tahun lalu, saya lihat pakaian baju putih, seluar panjang hijau tua bagi lelaki dan baju kurung putih dan berkain biru laut bagi perempuan - masih melekat di tubuh pelajar 'dewasa' sekolah menengah sampai sekarang.
Mereka juga ada perasaan untuk bergaya. Tetapi kepada pelajar yang sudah memasuki usia remaja, mereka diwajibkan berpakaian seragam itu untuk ke kelas.
Apabila melihat rakan sebaya yang menuntut di pusat asasi, matrikulasi atau kolej universiti serta institut pengajian yang menawarkan sijil pun - mereka berpakaian biasa. Kalau ada pakaian seragam pun tidak sama dengan pakaian sekolah.
Persepsi pelajar tingkatan enam macam budak-budak sekolah sedikit meruntun rasa kecil hati mereka. Tapi itulah yang ditetapkan oleh kerajaan sejak wujud tingkatan enam lagi.
Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu. Perubahan zaman pantas berubah dan bertukar penampilan. Namun dalam usia remaja sedemikian, mereka merasa malu masih dilihat seperti pelajar tingkatan lima ke bawah.
Ubahlah dasar pakaian sekolah bagi membenarkan pelajar tingkatan enam berpakaian kemas sebagaimana ditetapkan peraturan kepada pelajar di universiti.
Kita mahu melihat pelajar tingkatan enam berubah imej dengan pakaian kemas dan berkasut hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan. Dengan perubahan sedemikian tidak nampak lagi perbezaan pelajar tingkatan enam dengan rakan sebayanya di peringkat prauniversiti.
Pakaian pelajar tingkatan enam ini perlu diberi perhatian utama dalam usaha Kementerian Pelajaran memberi wajah baru kepada pelajar STPM.
Cadangan ini bersesuaian dengan pengumuman bahawa perubahan besar bakal dilakukan kerajaan dengan memisahkan pelajar tingkatan enam daripada pelajar tingkatan satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian khas.
Banyak pihak menyambut baik berita yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-7 di Yogyakarta, Indonesia kelmarin.
Tingkatan enam sepatutnya menjadi pentas bagi melatih para pelajar supaya mereka lebih berdikari dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran di universiti.
Oleh itu amat sesuai sekali sistem pelajaran tingkatan enam diberi penjenamaan semula. Imej pelajar, sistem dan kualiti pendidikan tersebut perlu diselaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain.
Memang elok sangat cadangan Muhyiddin supaya kelas tingkatan enam dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada. Guru yang mengajar pelajar tingkatan enam juga harus golongan guru yang berbeza.
Apa sahaja yang difikirkan baik untuk memulihkan semangat dan imej tingkatan enam, lakukanlah. Kalau kerajaan mahu mengkaji tempoh pembelajaran tingkatan enam dipendekkan kepada enam bulan lebih awal seperti yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi, maka teruskan usaha tersebut.
Memang kerajaan perlu mengubah sistem pendidikan tingkatan enam kerana persepsi sebilangan besar masyarakat terhadap tingkatan enam dilihat berada di peringkat bawah berbanding dengan pendidikan matrikulasi.
Sedangkan kelulusan dan kelayakan pelajar yang mengambil STPM dan matrikulasi adalah sama. Mereka perlu bersaing untuk merebut tempat melanjutkan pelajaran ke universiti.
Tiada beza nilai sijil STPM dengan sijil matrikulasi, cuma yang membezakan mereka ialah sistem pelajaran, tempat belajar dan pakaian seragam.
Jadi jika Kementerian Pelajaran ingin membuat perubahan, jangan lupa ubah juga imej baju sekolah itu.

Utusan Malaysia Online: 7 Julai 2012
Imej baru tingkatan 6

Imej baru tingkatan 6

JOGJAKARTA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendidikan tingkatan enam melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar sistem pendidikan prauniversiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.
Timbalan Perdana Menteri berkata antara langkah diambil ialah memisahkan pelajar berkenaan dari sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat pengajian khas untuk tingkatan enam. �Kami memikirkan untuk menyatukan tingkatan enam, menggunakan pakaian berbeza, jadual waktu, guru tidak sama, kategori lain sedikit (secara perbandingan dengan sekolah biasa),� katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak kelmarin kerana menghadiri mesyuarat Menteri Pelajaran Asean dan mesyuarat berkaitan dengannya yang berakhir semalam.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi menjayakan cadangan itu, pelajar tingkatan enam wajar ditempatkan di pusat pengajian khas kerana bilangan mereka kini bertaburan di seluruh negara belajar dalam satu atau dua kelas di sekolah tertentu. Pada tahun ini, ada 83,000 pelajar tingkatan enam dan 26,000 pelajar matrikulasi di seluruh negara. Langkah memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah biasa juga selaras kedudukan mereka sebagai pelajar prauniversiti. �Umum pada masa ini melihat pendidikan tingkatan enam kesinambungan daripada pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka dalam kategori yang berbeza dan lebih matang daripada segi pemikiran,� katanya. Muhyiddin berkata, penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihat tingkatan enam memang sebenarnya pendidikan prauniversiti yang setanding peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan pusat asasi sains anjuran universiti awam tempatan. Persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi lebih baik daripada di tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing masuk ke universiti awam adalah sama. Masyarakat, katanya, tidak harus melihat pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya, pencapaian pelajar tingkatan enam lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi. Sehubungan itu, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) harus juga melihat pendidikan tingkatan enam antara pilihan terbaik untuk pendidikan prauniversiti. Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan dalam sistem pendidikan tingkatan enam dimulakan tahun ini melalui sistem pembelajaran tiga semester, namun secara perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan pengajian enam bulan lebih awal. Ditanya mengenai kemungkinan pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal supaya bersamaan tempoh pembelajaran di kolej matrikulasi, beliau berkata, perkara itu akan dikaji Kementerian Pelajaran. Muhyiddin berlepas ke Bali untuk meneruskan lawatan enam hari ke Indonesia sejak 3 Julai lalu dalam rangka meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Indonesia. - Bernama

myMetro: 6 Julai 2012
Back To Top